Thursday, December 2, 2010

Kenapa Tak Rogol Saya? Subhanallah!!

Kisah benar ini  berlaku di US (Amerika Syarikat).
Ia tentang seorang wanita dari Malaysia yang bekerja di US. Dia memakai tudung dan memiliki akhlak yang bagus.
Suatu malam perempuan  ini dalam perjalanan balik ke rumah dari tempat kerjanya. Kebetulan dia  mengambil jalan singkat untuk pulang. Jalan yang diambil pula agak tersorok dan  tidak banyak orang yang lalu lalang pada masa itu.
Disebabkan hari yang  agak sudah lewat, berjalan di jalan yang agak gelap sebegitu membuatkan dia agak  gelisah dan rasa takut. Lebih-lebih lagi dia berjalan  bersaorangan.
Tiba-tiba dia nampak ada seorang lelaki (kulit putih Amerika) bersandar di dinding di tepi lorong itu. Dia sudah mula rasa takut dan  tak sedap hati. Apa yang dia boleh buat waktu tu adalah berdoa ke hadrat Allah memohon keselamatan atas dirinya. Dia baca ayat Kursi dengan penuh pengharapan  agar Allah membantu dia di saat itu.
Masa dia melepasi tempat lelaki itu  bersandar, dia sempat menoleh dan dapat mengecam muka lelaki itu. Nasib baik  lelaki itu buat tidak endah dan perempuan ini selamat sampai ke  rumahnya.
Keesokkan paginya, wanita ini terbaca dalam akhbar yang seorang  perempuan telah dirogol oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dekat lorong  yang dia jalan semalam hanya 10 minit selepas dia melintasi lorong tersebut.  Muslimah ini yakin benar lelaki kulit putih yang dia lihat semalam adalah  perogol itu.
Atas rasa tanggungjawab dia terus ke balai polis dan buat  aduan. Wanita ni dapat mengenalpasti suspek melalui kawad cam dan selepas  siasatan dilakukan, polis dapat bukti bahawa lelaki tersebut adalah perogol yang  dicari.
Tapi perempuan ini hairan juga kenapa lelaki tadi tak jadikan dia mangsa ketika dia melalui lorong tersebut walhal dia keseorangan di masa tu, tetapi lelaki tadi rogol perempuan yang lalu selepas dia. Wanita ini nak tahu sangat sebabnya. Jadi dia minta kebenaran polis untuk bercakap dengan perogol  tadi sebelum hukuman dijatuhkan (sebelum lelaki tadi di bawa ke tempat  lain).
Dia pun tanya perogol itu..
“Why don’t you do anything to  me on that night even though you know that I’m alone?”
(Kenapa awak tak buat  apa-apa kat saya malam tu walaupun awak tau saya seorang je masa  tu?)
Perogol tu jawab:
“No, you are not alone. That night I saw  two young man walking with you. One on your right side and the other one was by  your left side. If you were alone of course you will be my victim.”
(Tak,  awak bukan berseorangan. Malam tu saya nampak ada 2 orang lelaki berjalan dengan  awak. Seorang sebelah kanan awak dan sorang lagi sebelah kiri awak. Kalaulah awak sorang-sorang malam tu, sudah pasti awak jadi mangsa saya..)
Wanita ni  rasa amat terkejut bila dengar penjelasan perogol tu. Dia bersyukur ke hadrat  Allah kerana memelihara dia malam itu, mungkin juga berkat ayat Kursi yang dia  baca malam itu.
HarakahDaily.net

Daulah Islamiyah Anugerah Kepada Ummat Islam... Ayuhlah Kita Bina!!!

Tokoh Pemikir Dunia Islam Antarabangsa, Prof Syeikh Dr Said Ramadhan Al-Bouti menegaskan, Daulah Islamiyah adalah anugerah kepada umat Islam setelah mereka berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan perintah Allah SWT dalam semua hal kehidupan dan meninggalkan larangan-Nya.
Dr Said berkata, umat Islam wajar kembali melihat bagaimana manhaj dan pendekatan yang dilaksanakan oleh kalangan Sahabat di zaman Nabi dahulu kerana mereka melakukan segala ketundukan hanya semata-mata untuk mentaati Allah SWT, bukan untuk yang lain daripada itu.
Menurutnya, hasil daripada melakukan segala kebaikan berpandukan arahan dan didikan Nabi Muhammad di sepanjang perjalanan kehidupan mereka, akhirnya Allah SWT. hadiahkan sebuah Negara Islam kepada mereka setelah berbelas tahun berjuang.
"Wujudnya Negara Islam di Madinah adalah hadiah daripada Allah SWT. kepada sekumpulan sahabat besar yang sentiasa melaksanakan arahan dan mengikut perintah-Nya.
"Pertama mereka melaksanakan wathifah yakni tugas yang wajib dilakukan serta meninggalkan segala larangan-Nya dan keduanya, baharulah mereka mendapat hadiah daripada Allah SWT.
"Persoalannya kepada kita sekarang, kenapa Daulah Islamiyah pupus? Jawapannya adalah kerana terdapat sebahagian besar daripada umat Islam meninggalkan segala arahan dan melakukan larangan-Nya," tegasnya dalam satu ceramah di Masjid Negeri, dekat sini, kelmarin.
Turut hadir dalam majlis itu adalah Mufti Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Seri Utama Diraja, Mohamad Tamyez Abdul Wahid, Imam Besar Masjid Negeri, Syeikh Ahmad Mustafa Sidin, Presiden Shura, Ustaz Abdul Ghani Samsudin, Pensyarah Kanan Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Ustaz Roslan Mohamed dan Timbalan Dekan Fakulti Syariah Universiti Damascus, Dr Tawfik Ramadhan Al-Bouti, Dr Said Ramadhan Al-Bouti merupakan Ketua Jabatan Tauhid dan Agama, Fakulti Undang-undang Islam di Universiti Damascus, Syria berada di Malaysia atas undangan Kerajaan Negeri Selangor sebagai Pengucap Utama dalam Konferen Antarabangsa Pendidikan Islam (ICIEd2010) anjuran bersama KUIS dan Ilmuan bermula 29 November hingga 1 Disember.
Menurutnya lagi, kini masalah yang sedang melanda umat Islam di mana mereka lebih mengutamakan tudung atau penutup daripada memikirkan bagaimana untuk mewujudkan sesuatu bekas itu terlebih dahulu.
Beliau juga mengingatkan umat Islam agar jangan berasa gembira apabila kedapatan buah yang hanya diikat dengan benang lalu disambungkan di pokok dan isytiharkan 'inilah buah yang dihasilkan oleh pokok' berkenaan.
Dalam pada itu dengan nada menasihatkan umat Islam agar semua pihak memberikan perhatian sepenuhnya kepada pendidikan dalam keluarga sendiri menuju kejayaan yang baginya, merupakan saliran-saliran sungai kecil akhirnya membentuk sebuah 'banjir besar' yang diibaratkan sebuah Daulah Islamiyah.
HarakahDaily.net


Tuesday, November 30, 2010

Kekadang Tiada Siapa Boleh Memahami...


Hati ini sudah lama tidak berperasaan. Kering, kemarau, mungkin berhabuk. Yang ada sudah pergi, yang tiada makin menghilang, yang di sisi belum tentu memahami, yang faham belum tentu mendengar, yang mendengar belum tentu merasai. Diri yang merasai, segalanya perlu ditelan. Biar pahit, biar keras. Namun amat berguna, agar menjadi lebih kuat...


Wednesday, November 17, 2010

Ada Masa Untuk Ini dan Ada Masa Untuk Itu...

“Mengapa dengan kamu?”Abu Bakar bertanya.

“Hanzalah sudah jadi munafiq. Hanzalah sudah jadi munafiq. Hanzalah sudah jadi munafiq!” kata Hanzalah, penuh kesal.

Terkejut Abu Bakar mendengarnya.

“Mengapa kamu berkata begitu?” Abu Bakar meminta penjelasan.

“Semasa aku duduk di dalam majlis Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan mendengar tentang Syurga serta Neraka, iman aku meningkat kepada keadaan yang baik. Tetapi tatkala aku bekerja dan kembali kepada keluargaku, imanku terjejas dan menurun. Hanzalah sudah jadi munafiq!” cerita Hanzalah.

Keterangan itu menggusarkan Abu Bakar. Beliau juga merasainya.

Mereka berdua pergi bertemu dengan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan menceritakan kisah kebimbangan Hanzalah yang amat signifikan itu. Lalu Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:

“Demi Dia yang jiwaku berada di tangan-Nya, jika kamu sentiasa berada di tahap yang sama seperti ketika mana kamu bersama denganku dan semasa mengingati Allah, nescaya Malaikat akan berjabat tangan denganmu ketika kamu berhenti rehat atau berjalan! Akan tetapi, wahai Hanzalah, ada masa untuk ini dan ada masa untuk itu (Baginda mengulang menyebutnya tiga kali)” [Hadith riwayat Muslim]

Dalam bahasa yang lebih mudah, jika keadaan dirimu sentiasa baik seperti di dalam majlis ilmu dan ketika di luar majlis ilmu, nescaya Malaikat itu akan tabik spring dengan kamu! Hebatlah jika begitu. Namun ia menyalahi tabiat manusia. Iman itu pasang dan surut. Agama Islam, tidak pernah menafikan hal yang amat fitrah ini. Lalu Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menegaskan kenyataan berikut:

“ada masa untuk ini dan ada masa untuk itu…”

Masa bekerja, perlu bekerja. Masa mengaji, perlu mengaji. Masa sibuk, sibukkan diri. Masa berehat, perlu berehat.

SaTu aMaNaH DaRi IlaHi...


Tanya diri kita... Sepanjang kita hidup, apakah yang kita buat untuk Islam??

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. - At-Taubah ayat 71

Thursday, October 28, 2010

Jemaah Itu Keperluan dan Ummah Itu Tujuan...

“Saya kena sertai semua kumpulan. Kalau ikut satu sahaja, nanti jadi Jamaah Centric!”, kata seorang siswa.


“Lebih baik aku bebas. Tak terikat dengan mana-mana kumpulan. Mana-mana ada kelas pengajian, aku akan pergi. Ini baru Ummah Centric”, komen seorang pelajar pula.


Kebelakangan ini, isu Jamaah Centric Vs. Ummah Centric hangat diperbincangkan oleh masyarakat kita. Hal ini lebih ketara dilihat berlaku di kalangan masyarakat pelajar yang lebih dekat kepada sumber gagasan idea ini iaitu al-Fadhil al-Ustaz Maszlee bin Malik, seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa. Pelbagai bentuk maklum balas yang timbul, sama ada dalam bentuk perkataan dan tulisan, mahu pun tindak tanduk yang mencetuskan satu senario di kampus hari ini.



Di peringkat awal, saya mengambil lontaran idea ini sebagai sesuatu yang wajar diberikan persetujuan, sekurang-kurangnya pada isi-isi utama yang diketengahkan melalui artikel di Majalah I. Pada saya, idea awal di bawah kerangka pemikiran Ummah Centric mempunyai tujuan yang harmoni iaitu ke arah keterbukaan pemikiran semua individu yang terlibat di dalam gerakan Islam untuk meraikan perbezaan pandangan sesama mereka, menuju kepada kepentingan makro iaitu maslahah Ummah sejagat. Saya boleh bersetuju di peringkat ini.


Akan tetapi, selepas menonton VCD ceramah Ustaz Maszlee bin Malik di rumah Kapten Hafiz Firdaus, saya menjadi keliru dan penerimaan saya terhadap idea tersebut terganggu. Saya menontonnya buat kali yang kedua, dan keserabutan fikiran saya akibatnya, makin ketara. Saya terpaksa mengambil masa yang panjang untuk menyusun cabang-cabang fikiran saya dan akhirnya, menulislah yang boleh menjadi cara terbaik untuk saya strukturkan kefahaman saya terhadap gagasan Ummah Centric yang dikemukakan oleh al-Fadhil ustaz.


Tambahan pula, Ustaz Maszlee bin Malik adalah rakan sepengajian saya. Kami saling mengenali semenjak 1993 dan saya menghormatinya sebagai seorang rakan yang ilmuan. Maka saya berusaha sedaya upaya untuk mengenengahkan analisa ini dengan tatasusila peribahasa Melayu kita, “seperti menarik rambut di dalam tepung; rambut tak putus, tepung tak tumpah”. Mudah-mudahan apa yang saya tulis ini benar-benar dapat dibaca dengan bahasa dakwah dan diskusi ilmiah tanpa ada sebarang persepsi peribadi serta prejudis yang menyalahi kebenaran.


Meraikan Perbezaan


Keterbukaan kumpulan-kumpulan Islam untuk bertolak ansur terhadap perbezaan sesama mereka, adalah suatu tuntutan yang memang tidak dapat dinafikan. Ia menjadi kunci kepada sejauh mana mereka boleh memberi kesan yang berbekas di tengah masyarakat, dan sejauh mana masyarakat boleh memberikan kepercayaan untuk suara Islam memimpin arus perdana.


Saya percaya, keupayaan untuk bekerjasama di antara kumpulan-kumpulan Islam ini sudah pun terlaksana di peringkat pemimpin, malah menjadi pendekatan ‘rasmi’ bagi hubungan diplomatik antara kumpulan. Walau bagaimana pun, impian pemimpin untuk mewujudkan keharmonian antara kumpulan Islam di peringkat akar umbi, tidak semudah melakarkannya di atas kertas. Pergeseran berlaku dari semasa ke semasa, walaupun masing-masing sedar yang fenomena malang itu menjadi bahan ketawa golongan Islam liberal yang sinis.


Malah kadang-kadang kumpulan Islam ini menerima padah sehingga menjadi seperti Pak Pandir yang menang bersorak, tetapi kampungnya tergadai. Kumpulan Islam tumbang di kampus-kampus, dan berleluasalah maksiat dan hedonisma sebagai budaya kampus hari ini. Tiada lagi amar makruf dan nahi munkar, hasil kesalahan sendiri yang mempertaruhkan kampung, semata-mata mahu memenangkan ayam laga masing-masing.


Saya kira, mungkin inilah latar belakang kepada timbulnya idea Ummah Centric oleh al-Fadhil al-Ustaz Maszlee bin Malik. Beliau yang bertugas sebagai pensyarah universiti dan setiap harinya adalah bersama masyarakat kampus, tentu mahu melihat kepada penyelesaian fenomena yang merugikan ini. Saya suka untuk bersama dengan beliau di dalam niat yang murni itu.


Namun, tembakan peluru yang tidak menepati sasaran, akan hanya menghasilkan satu antara dua. Sama ada kita bazirkan peluru, atau paling malang, ada pihak lain yang tidak bersalah terbunuh akibat peluru sesat itu tadi. Ketika kita mahu merawat taasub ahli kumpulan kepada idea kumpulannya, yang tersinggung bukanlah sikap dan pemikiran taasub tersebut, tetapi konsep berkumpulan dan berjamaah itu yang menjadi mangsa peluru sesat berkenaan.


Lantas timbul idea Jamaah vs. Ummah. Apakah kepentingan Jamaah secara default bertentangan dengan kepentingan Ummah? Apakah yang boleh wujud hanyalah Ummah, manakala Jamaah pula menjadi batu penghalang kepada gagasan Ummah? Mengapa mesti Jamaah versus Ummah? Mengapa tidak Jamaah dan Ummah? Inilah yang cuba saya fikirkan, bahawa apakah ada kontra di antara kedua-duanya, lantas perlu memilih satu antara dua, atau saya perlu lari dari dua pilihan itu, dan sebaliknya berfikir di luar kotak?
Pertamanya, saya perlu memasang pasak, bahawa berjemaah itu bukan sahaja tuntutan Syariat, malah ia sebenarnya adalah Sunnatullah. Allah S.W.T telah menetapkan fitrah manusia yang berhajatkan kepada hidup berkumpulan. Sendirian itu sunyi, lantas Adam memerlukan kepada Hawwa. Sekumpulan itu sukar, lantas manusia berkumpul-kumpulan dan saling bertukar hasil untuk memenuhi keperluan hidup masing-masing. Kumpulan nelayan perlukan kepada kumpulan petani. Kedua-dua kumpulan itu perlu pula kepada kumpulan penternak, lantas hasil keperluan itu, timbulnya kumpulan peniaga yang konsep asalnya adalah untuk saling membantu mengisi keperluan sesama kita.


Itu adalah fitrah manusia yang perlukan Jamaah untuk mengisi keperluan hidupnya.
Islam sebagai agama fitrah, menjadikan konsep berjemaah itu sebagai kerangka teras ajarannya. Peranan manusia sebagai Khalifah adalah untuk mengimarahkan hablun minannaas. Kita saling berkhidmat di antara satu sama lain, kerana kita khalifah kepada Allah yang mahukan kita bersyukur kepada-Nya dengan melakukan kebaikan sesama manusia. Manakala kita sebagai hamba Allah, Islam mengajar kita menegakkan ibadah dan syiar agama-Nya secara berjamaah. Kita dituntut solat berjamaah, dan hidup bermasyarakat.
Hal ini terjadi secara harmoni, kerana ia fitrah manusia.


Fitrah manusia memang mahu hidup berkumpulan. Sama ada mereka mahu berkumpul kerana bersepakat di atas satu idea dan agenda, atau pun mereka berkumpul kerana bersepakat menolak satu idea dan agenda. Dari satu kumpulan, mereka lari ke satu ‘perkumpulan’ yang lain. Seorang manusia memang sebahagian daripada kumpulannya.


Bukan sahaja di dalam hal ehwal agama, keperluan manusia kepada kumpulan juga merentasi semua itu, malah bagi sesiapa sahaja yang kenal manusia, akan sampai kepada kesimpulan yang sama.
John C. Maxwell, seorang tokoh Leadership Training pernah menulis di dalam bukunya, Equipping 101, bahawa, ‘”one is too small a number to achieve greatness“. Tidak ada kejayaan yang dicapai secara bersendirian hatta Lone Ranger juga sentiasa di sisinya ada Tonto!


Jika di dalam soal kehidupan dan keperluannya, manusia hidup secara berjamaah, maka apatah lagi untuk urusan-urusan menegakkan agama Allah.


Suatu kesilapan, seandainya ada di kalangan kita yang beranggapan bahawa tanggungjawab mereka hanyalah menambah ilmu dan mengajak kepada kebaikan. Kita tidak hanya dituntut melaksanakan perkara-perkara yang baik, malah kita juga diperintahkan oleh Allah supaya menjauhi larangan-Nya. Amar makruf tidak mungkin dapat dipisahkan daripada nahi munkar. Para Rasul dan kita semua diperintah bukan sahaja mengajak manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, bahkan kita juga bertanggungjawab memastikan diri dan manusia lain terhindar daripada Taghut, iaitu segala sesuatu yang berlawanan dengan Allah, Tuhan yang al-Haq.


Apabila kita bertanggungjawab terhadap dakwah, kita perlu akur kepada tabiat jalan dakwah itu, sebagaimana Luqman memberikan tanggapan yang realistik kepada anaknya, ketika menjelaskan tentang kewajipan dakwah. Ia bukan senang sentiasa, malah sentiasa dicemburui dan ditentang oleh manusia lain.
Firman Allah SWT:
“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah Solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.”
Realiti dakwah memang begitu. Oleh kerana dakwah mempunyai tabiat yang sedemikian rupa, maka ia sekali lagi memerlukan kepada manusia yang memelihara fitrah diri mereka, iaitu melakukannya secara berjamaah. Mereka perlu merancang, membuat keputusan, melaksanakannya dan teguh terhadap kesan dakwah itu, secara berjamaah. Dalam erti kata yang lain, keperluan dakwah kepada Jamaah bukan sahaja datang dari perintah Allah yang Maha Mengerti akan hakikat manusia yang diCiptakan-Nya, malah melakukan dakwah secara berjamaah adalah fitrah.


Jika sudah bosan membaca tentang faedah bekerja secara berjamaah dari buah fikiran sesama Muslim, mari kita renungkan kepada pandangan John C Maxwell yang cuba menjelaskan kepada ‘jamaah’nya di gereja, ahli korporat di pejabat, malah ahli bagi sebuah keluarga, mengapa kita mesti berjamaah:


1. Teams involve more people, thus affording more resources, ideas and energy than would an individual.
2. Teams maximize a leader’s potential and minimize her weaknesses. Strengths and weaknesses are more exposed in individuals.
3. Teams provide multiple perspective on how to meet a need and reach a goal, thus devising several alternatives for each situation.
4. Teams share the credit for victories and the blame for losses. This fosters genuine humility and authentic community.
5. Teams keep leaders accountable for the goal.
6. Teams can simply do more than an individual.

Tegasnya, di antara sudut kesempurnaan ciptaan Allah terhadap manusia, terletak kepada kepatuhannya memelihara fitrah, bahawa manusia hidup berjamaah.


Ummah Centric Versus Jamaah Centric: Peluru yang terlepas sasar


Ketika idea ini dikemukakan oleh al-Fadhil al-Ustaz Maszlee Malik di melalui artikelnya di Majalah I, saya lihat hala tujunya menjurus kepada sasaran yang betul. Apa yang banyak ditegaskan melalui artikel itu adalah soal membetulkan pemikiran agar tidak terbelenggu oleh kepentingan Jamaah. Sebaliknya semua orang mesti sedar bahawa dirinya dan jamaahnya adalah sebahagian daripada Ummah. Maka keperluan dan kehendak Ummahlah yang sepatutnya diberikan keutamaan. Dengan itu kita akan berhenti bergeseran sesama Jamaah, atas roh Ummah yang menjadi pegangan.


Akan tetapi, apabila idea tersebut dicanaikan melalui ceramah yang disampaikannya di kediaman al-Fadhil al-Akh Hafiz Firdaus, saya berubah pandangan. Saya cuba meletakkan diri saya di tempat pelajar yang mendengar ceramah tersebut, dan saya menjadi keliru. Subjek yang menjadi sasaran dan kritik bukan lagi pada permasalahan sikap taasub setiap kumpulan terhadap kumpulan lain, tetapi kepada konsep berjamaah itu sendiri.


Mungkin al-Fadhil Maszlee tidak bermaksud demikian, tetapi kesan ceramahnya menyebabkan pelajar sinis dan memandang rendah kepada semua kumpulan Islam yang wujud di kampus malah di tengah masyarakat. Ketawa sinis penceramah dan peserta terhadap beberapa senario Jamaah, ternyata mengheret perkumpulan Islam untuk berasa amat tersinggung, seolah-olah Jamaah dan kumpulan Islam, adalah pelakon drama komedi yang lawaknya lucu tetapi menyusahkan orang ramai.


Saya kira, isteri dan anak-anak kepada tahanan ISA, keluarga pendakwah yang terbunuh di Memali malah al-Syahid Sayyid Qutb yang hilang nyawa di tali gantung, terpaksa menempuh segala kesusahan hidup itu akan amat terguris hati mereka kerana impression yang terhasil dari ceramah tersebut ialah, pengorbanan selama ini, hanyalah bagi menjayakan drama lucu Jamaah Centric mereka!


Saya teringat kepada kisah seorang artis Hollywood yang terpilih untuk menjadi pengacara sebuah program anugerah. Lawak jenakanya sangat menghiburkan dan dia telah berjaya menghidupkan program tersebut sehingga beroleh pelbagai komen positif media dan rakan. Tetapi apabila beliau bertanyakan pandangan ayahnya, beliau menjawab, “YOU HURT TOO MANY PEOPLE!“. Ya, lawak yang sinis selalunya menghiris.
Apabila manusia yang fitrah perlu kepada Jamaah untuk merealisasikan keperluan dan tujuan hidupnya, maka mereka perlu kepada disiplin dan adab berjamaah. Soal komitmen (intima’), disiplin bekerja, dan kerahsiaan organisasi (sirr), adalah hasil pelajaran ahli gerakan Islam daripada dakwah pertama oleh Rasulullah S.A.W. Ia bukan idea-idea budak kampus. Namun, kelakuan-kelakuan mikro oleh pelajar di kampus, menjadi bahan sanggahan konsep Amal Jama’ie yang makro. Kerana mahu menyindir anak kecil di padang, ibu di rumah turut terkena.


Perbalahan antara perkumpulan Islam bukanlah berpunca daripada konsep Amal Jama’ie. Ia adalah masalah sikap dan cara berfikir.


Sepatutnya Ummah Centric dan Jamaah Centric memfokuskan pembetulan mereka kepada persoalan sikap itu tadi. Sikap yang ada pada semua kumpulan Islam, dan bukannya menyalahkan Jamaah. Jangan kerana marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar.


Sikap dan cara berfikir yang saya sebutkan tadi, bukan sahaja mencetuskan pelbagai masalah di kalangan pendukung gerakan Islam, malah ia mencakupi seluruh aspek kehidupan kita termasuklah kepada persoalan bermazhab. Mungkin artikel Paksi Islam: Syakhsiah Atau Hujah? yang pernah saya tulis, boleh menjelaskan secara panjang lebar tentang hal ini.


Jika sikap dan cara berfikir yang berpenyakit itu tidak diperbetulkan, ia hanya mengundang kepada bercambahnya masalah asal yang ingin dihapuskan.


Misalnya, isu mazhab. Kita cuba merawat penyakit Taasub kepada Mazhab yang banyak menimbulkan masalah kepada Ummah. Tetapi yang kita perbetulkan adalah maklumat tentang mazhab, dan bukannya sikap. Lantas, daripada sekumpulan manusia yang obses dengan al-Imam al-Syafie, timbul pula sekumpulan manusia yang obses dengan al-Imam Ibn Taimiyah. Daripada wujud hanya satu kumpulan manusia taasub, muncul pula dua kumpulan manusia taasub yang berlaga sesama sendiri.


Mengapa hal ini boleh terjadi? Pada kiraan saya, masalah bukan terletak pada mazhab, sebaliknya pada sikap dan cara berfikir yang salah. Mereka yang meninggalkan mazhab, beralih kepada al-Imam Ibn Taimiyah dengan membawa gerabak sikap yang sama. Taasub lawan Taasub, Islam Liberal juga yang akhirnya tersenyum gembira!


Apabila al-Fadhil al-Ustaz Maszlee Malik mengolah ceramah Ummah Centricnya seperti yang saya tonton melalui VCD tersebut, ia menjatuhkan maruah semua kumpulan Islam yang ada. Akibatnya, masyarakat pelajar akan lari daripada semua kumpulan Islam tersebut, dan berkumpul mengelilingi Ustaz Maszlee. Mereka lari dari semua Jamaah untuk berkumpul membentuk  ‘Jamaah’ baru. Walaupun kumpulan bebas-jamaah ini tiada nama, namun watak dan cara berfikir mereka akan membuat pusingan yang sama iaitu taasub menolak Jamaah-jamaah lain, sehingga tanpa disedari membentuk satu kumpulan yang tidak berjamaah secara taasub. Maka daripada tiga, empat atau lima pergeseran, bertambah pula menjadi enam pergeseran.
Mengapa semua itu terjadi? Puncanya terletak pada peluru yang hilang sasar. Ummah itu rumah, Jamaah itu kelambu, sedangkan yang mengganggu ahli rumah tersebut adalah nyamuk. Maka nyamuklah yang sepatutnya dibanteras.


Nyamuk yang mengganggu Ummah adalah Sikap negatif dan cara berfikir yang salah.
Ada nyamuk jamaah yang menyalahgunakan nas untuk membuat justifikasi terhadap kebenaran jamaahnya. Namun, bukan Jamaah yang salah, bukan nas yang lemah, tetapi nyamuk yang buat perangai. Dr Izzat Khalil al-Azizi ketika memberikan nasihatnya kepada gerakan-gerakan Islam melalui buku Nasaa’ih wa Taujihaat al-Mufakkireen wa Ulama’ a-Islaam li al-Jamaa’aat wa al-Ahzaab al-Islaamiyyah terbitan al-Maktabah al-Islaamiyyah, Jordan, telah mengambil pendekatan yang realistik.


Beliau menyeru kepada semua gerakan Islam agar bersikap terbuka (infitaah) terhadap sesama gerakan Islam dan tidak menyempitkan pemahaman Jamaah di dalam nas Hadith sebagai merujuk kepada Jamaah masing-masing. Hal ini juga selaras dengan seruan Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi yang mesra dengan pelajar Malaysia di Jordan, yang sebahagiannya adalah saya dan al-Fadhil Maszlee Malik sendiri.
sikap yang sepatutnya diperbetulkan, dan bukannya konsep Jamaah.


Ada nyamuk jamaah yang tidak memanipulasi nas, sebaliknya mencubit gigit rakan-rakan gerakan Islamnya yang lain, lebih dari gigitannya terhadap musuh sebenar. Entiti diri sebagai sebuah NGO dan badan berdaftar sepatutnya menjadi pendekatan yang mengkayakan pengalaman sesama gerakan Islam, dan bukannya menjadi hujah untuk menyindir rakan yang ‘ditolak pendaftarannya’ kerana sering derita menanggung risiko dakwah.


“Itulah engkau, buat lagi kerja macam tu, kan dah kena tindakan. Tengok aku, aku join NGO, dakwah dapat buat, risiko tak dapat. Baru selamat!”, ujar ahli NGO kepada sebuah kumpulan yang tiada nombor pendaftaran.


Semua ini adalah sikap-sikap yang sepatutnya menjadi sasaran pembetulan oleh gagasan “Ummah Centric vs. Jamaah Centric“.
Kumpulan-kumpulan Islam di kampus sewajarnya mengajak sokongan melalui pembuktian upaya dirinya, berbanding sandaran terhadap kelemahan kumpulan lain. Sikap yang lebih pro aktif, sihat dan meletakkan mesej Islam sebagai keutamaan adalah jaminan kepada keharmonian kumpulan mikro manusia sebagai Jamaah, dan kumpulan makro manusia sebagai Ummah.


Lebih menghairankan saya ialah apabila Ummah Centric dituduh sebagai cetusan fahaman Wahhabiyyah, manakala Jamaah Centric dikaitkan dengan pengaruh kesufian. Aduh, apa kena mengenanya Muhammad bin Abdul Wahhab dan jalan sufi itu dengan kanser sikap kita?


Saya masih ingat kepada satu siri talk show yang dikendalikan oleh Oprah Winfrey. Isu kali itu adalah tentang Racism. Menariknya ialah, ramai Black American meletakkan mind setting mereka bahawa jika mereka tidak mendapat pekerjaan atau mengalami kegagalan tertentu, maka puncanya adalah kerana mereka Black! Walhal mereka memang tidak layak untuk jawatan tersebut.


Ada juga orang Islam di Eropah yang menganggap bahawa mereka dipinggirkan oleh masyarakat kerana Islamnya mereka. Sedangkan mereka sendiri yang hidup berkelompok dan enggan berinteraksi dengan persekitaran.


Nasib kita macam ini sebab kita bumiputera. Pada hal kita yang malas berusaha.
Dia itu Ummah Centric, sebab dia Wahabi.
Yang ini pula Jamaah Centric, sebab dia Sufi.
Saya hampir lumpuh kewarasan diri akibat karenah pemikiran yang seperti ini!
Berjamaahlah, kecemerlangan itu kuncinya pada berjamaah. Simenkan satu Jamaah dengan satu jamaah yang lain dengan simen ukhuwwah dan pemikiran yang God-Centered. Hasil gabungan semua itulah nanti yang akan membentuk Ummah.


Kuncinya adalah pada meletakkan ALLAH sebagai matlamat. Tanpa God-Centered, sama ada kita akan menjadi self-centered, atau larut sebagai social-centered.
Jamaah itu keperluan, Ummah itu tujuan. Mestikah ada pertembungan?
“Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya” [al-Quran 42: 13]
Petikan dari saifulislam.com

Sunday, April 20, 2008

HaTi iNi....................

Sepi Malam Ditemani Bintang...
Terik Mentari Ditemani Bayu Siang...
Tuhan Yang Esa Menjadikan CiptaanNya Berpasang-pasangan...
Malam Dan Siang...
Sejuk Dan Panas...
Suka Dan Duka...
Namun... Mengertilah Hati Ini...
Di Mana Ada Puncaknya... Pasti Ada Surutnya...
Di Mana Ada Tenangnya... Pasti Ada Kalanya Kocakannya...
Menggegar Jiwa...
Namun Hati... Jangan Sekali-kali Kau Tunduk Pada Tuntutan Nafsu Itu...
Amarahmu Itu...
Kerana Rabbmu Telah Berpesan Padamu...
Hatimu Itu Sentiasa Berbolak-balik...
Dan Hatimu Itu... Hanyalah Dipegang Olehnya...
Maka Janganlah Hati Ini Digusarkan Dengan Kata-kata Hati...
Yang Acapkali Dibisikkan Kata-kata Dusta Dari Musuhmu...
Janganlah Hati Ini... Gundah Gelana Dengan Masalah-masalah Duniamu Itu...
Kerana Ingatlah Hati Ini... Pada Janji Rabbmu...
Janji Yang Kekal Abadi... Janji Yang Haq...
Janji Yang Pasti...
Jangan Bersedih... Sesungguhnya Allah Bersama Kita...
Yakinlah Dengan Janji Rabbmu Wahai Hati...
Moga Tabah Hati... Tak Berbelah Bagi...
Moga Tenang Hati... Tambah Kasih Ilahi...

Saturday, March 8, 2008

PeRJuaNGaN..........


Perjuangan secebis jihad
Kekadang meruntun hati
Menguji rasa
Tiap getir melanda
Renungku ambil hakikat
Kita mujahid Allah
Senyum tangis kerana Allah
Yakin pada-Nya
Teruskan usaha
Kerana esok
Belum tahu ketentuannya...

NiKMaT ALLaH............

Photobucket 

PeRLuKaH aKu KHaBaRKaN........???

Lihat pada permukaan
Nampaknya terlalu tenang
Tapi di dalam hati yang terpendam persoalan

Perlukah aku khabarkan yang ku alami
Apakah akan terjawab semua
Perlukah aku bukakan rahsia hati ini
Semuanya terletak dalam hati kecilku

Segala kebenaran atau penjelasanku
Mempunyai berbagai tafsiran tersembunyi

Ku mohon pada-Mu Tuhan
Berikanlah kekuatan
Untukku menghadapi semua ini

Tuhan ku terus berserah
Berikan aku hidayah
Agar tidak tersalah arah dan tersilap langkah....

Friday, February 22, 2008

uKHWaH..............

"Ukhwah itu bukan pada indahnya pertemuan,tapi pada ingatan seseorang terhadap saudaranya di dalam doanya"
~Imam Al-Ghazali~

Ku harap mekar di hati,
Agar persahabatan suci ini,
Kan terus mantap,
Menjadi syafaat,
Terukir indah di pintu Jannah...

aKu...............

Aku adalah lumpur hitam...
Yang mendebu...
Menempel di sandal dan sepatu...
hinggap di atas aspal...
Terguyur hujan...
Terpelanting...
Masuk longkang...
Siapa sudi memandang...
Atau menghulurkan tangan...?
Tanpa huluran tangan Tuhan...
Aku adalah lumpur hitam...
Yang malang...

KeSaL...............


Kesal awal emas
Demi meraih sinarnya
Kesal akhir karat
Kelam tanpa kilaunya
Jika ada cahaya
Lorong ke puncak
Tetap ada